Aku buka facebook penuh isu pasal BR1M nih daripada yang setuju tak setuju yang kata patut amek dengan senang hati and tak kurang juga yang kata jangan amek kalau tiada niat sokong kerajaan sedia ada. Setiap orang ada pendapat sendiri aku pun ada. Ni aku paste balik ulasan yang aku letak dalam BLOG sebentar tadi tentang isu ini.

Quote:Adakah wajar diwujudkan Bantuan rakyat satu Malaysia (BR1M)?
Dewasa ini isu bantuan rakyat satu Malaysia atau lebih dikenali sebagai BR1M sedang hangat diperkatakan. Ada yang melihat dari sudut positif tidak kurang pula dari sudut negatif. Walau apa pun jua anggapan, setiap orang ada pendapat tersendiri. Jika ditanya kepada saya, sudah pasti saya menyokong sebarang bentuk bantuan yang diberikan kepada rakyat. Lagipun wang kerajaan adalah sebahagiannya daripada rakyat juga dan adalah lebih baik dikembalikan kepada rakyat.
BR1M ini saya lihat dapat membantu serba sedikit golongan rakyat termiskin di negara ini. Saya pernah mendengar cerita seorang Makcik yang berkata beliau cukup bersyukur mendapat bantuan RM500 tersebut kerana nilainya sama dengan gajinya sebagai cleaner selama sebulan. Bagi rakyat berkemampuan memanglah melihat nilai RM500 itu kecil tapi tidak bagi rakyat termiskin.
Akan tetapi, saya cukup pelik apabila ada segelintir individu berkemampuan cuba sedaya upaya untuk memohon BR1M ini. Bagi saya berilah laluan untuk rakyat yang lebih susah. Ini tidak pelbagai helah dibuat untuk melayakkan mereka mendapat bantuan tersebut.
Tidak dinafikan, ramai rakyat Malaysia membayar cukai segala cukai kepada kerajaan secara langsung atau tidak langsung. Atas alasan ini mereka berpendapat mereka layak mendapatkan kembali apa yang mereka bayar. Bagi saya, konsep membayar cukai ini memang perlu terutamanya untuk mereka yang berkemampuan dan hasil cukai selain untuk pembangunan negara, sebahagiannya boleh digunakan untuk membantu rakyat susah dan dihimpit kemiskinan. Selain cukai pendapatan, rakyat berkemampuan yang beragama Islam wajib membayar zakat harta. Zakat ini juga diguna untuk membangun ummah.
Selari dengan bantuan keatas rakyat, saya berpendapat adalah baiknya jika pihak berkuasa melakukan usaha yang lebih kepada membantu survival rakyat secara berpanjangan selain bantuan one off. Maksud saya disini boleh diumpamakan dengan seorang nelayan dan keinginan untuk mendapat ikan. Janganlah bantu nelayan dengan memberi ikan tetapi bantulah mereka dengan memberikan pancing atau jala dengan harapan mereka boleh mendapatkan ikan sendiri secara tetap selagi jala dan pancing itu berguna. Jika sudah rosak pun mereka boleh mendapatkan yang baru dengan hasil jualan ikan terdahulu.
Disini, saya lihat adalah lebih baik untuk mencari formula membantu survival rakyat termiskin supaya mereka boleh hidup dengan lebih selesa dengan bantuan yang akan membawa kesan secara berpanjangan. Mungkin boleh wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang memerlukan tenaga rakyat termiskin ini untuk sesuatu yang bermanfaat. Mungkin juga boleh wujudkan kursus-kursus kemahiran secara percuma untuk rakyat termiskin agar mereka boleh mendapatkan kemahiran tertentu yang boleh mereka gunakan untuk meningkatkan hasil pencarian.
Dari segi bantuan kerajaan kepada rakyat ini ada juga yang saya tak setuju. Salah satunya ialah pemberian ribet untuk telefon bimbit. Sebab ini seolah-olah menggalakkan remaja yang layak untuk membeli telefon bimbit baru dengan potongan harga. Mungkin juga ada pihak yang memanipulasikan harga telefon bimbit untuk mengambil untuk atas angin. Siapa tahu kan. Voucer buku 1Malaysia yang diberi kerajaan juga ada manfaatnya kepada pelajar. Saya juga ada menerimanya sebelum ini. Namun siri kedua saya tak ambil. Tidak tahulah tindakan saya ini betul atau tidak. Saya fikir yang saya dah jimatkan sedikit wang kerajaan yang diperuntukan untuk saya. Hehe.. Baiklah apa pun bentuk bantuan kepada rakyat saya sokong usaha murni tersebut. Akan tetapi saya sangat tidak bersetuju jika bantuan diberikan digunakan untuk digunakan oleh pihak tertentu untuk kempen politik mereka. Sekian sahaja.


