11-19-2010, 07:51 PM

RAMAI yang beranggapan viagra merupakan ‘talian hayat’ bagi menyelesaikan masalah seksual kaum lelaki. Bagaimanapun, selepas membaca artikel ini, mungkin persepsi itu berubah. Tidak ramai orang mengetahui bahawa buah mangga juga mempunyai ‘kehebatan’ yang setanding viagra. Kenapa? Mungkin sebelum ini, ramai yang sekadar menikmati keenakan mangga tanpa menyedari khasiat yang terdapat di dalamnya. Sebenarnya, buah berwarna kuning keemasan itu boleh membantu seseorang memperbaiki aspek kesihatan yang berkaitan dengan fungsi seksual.
Rahsia tersebut didedahkan oleh Pakar Diet Klinikal Pusat Perubahan Gaya Hidup, Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur, Tan Yen Sing yang membuat pembentangan dalam sebuah kempen kemasyarakatan, Kesihatan itu Kekayaan, yang telah dilancarkan syarikat MBG Fruits baru-baru ini. Selain baik untuk kesihatan seksual, mangga juga baik untuk mencegah kanser, menjaga kesihatan penglihatan, membantu penghadaman, menjaga kesihatan kulit, menambah berat badan menguatkan daya ingatan dan bagus untuk mereka yang menghidap anemia.
“Pengambilan buah-buahan dapat membantu mencegah dan mengatasi masalah penyakit yang mungkin menjadi igauan ngeri sesetengah individu seperti kanser.
“Pada tahun 2005, 17.5 juta orang meninggal dunia akibat penyakit kardiovaskular. Angka ini mencerminkan 30 peratus daripada kematian global,” katanya. Tambahnya, kajian menunjukkan bahawa pengambilan lebih daripada lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari dikaitkan dengan pengurangan 17 peratus penyakit jantung koronari.


