
Manggis (Garcinia mangostana) adalah tumbuhan tropika malar hijau dan dipercayai berasal dari Asia Tenggara. Pokok manggis boleh tumbuh daripada 7 hingga 25 meter dan menghasilkan buah berwarna ungu pekat yang boleh dimakan. Buah manggis dikenali sebagai "ratu segala buah" sementara buah durian (Durio spp.) dikenali sebagai "raja segala buah". Terdapat juga spesis/subspesis lain seperti berikut: Garcinia mangostana, Garcinia pedunculata, Roxburgh, Garcinia Kydia, Roxburgh, Garcinia indica, Choisy (Garcinia purpurea), Roxburgh; Brindonia indica dan DuPetit-Thouars. Manggis antara tumbuhan yang lambat tumbuh dan tumbuhan tropika. Ia sensitif dan tidak mampu hidup pada suhu di bawah 40F atau lebih dari 100F, biji benih mati pada 45F.
Pembiakan
Biji benih manggis mempunyai tempoh hayat yang pendek dan perlu ditanam dengan segera. Ia hanya tahan antara 1-5 hari dan perlu ditanam serta merta selepas dikeluarkan dari buahnya. Percambahan memakan masa antara 2-3 minggu. Anak pokok akan menghasilkan akat tunjang yang panjang yang penting bagi daya hidup pokok, oleh itu pemindahan anak pokok perlu dilakukan dengan berhati-hati agar ia tidak merosakkan akar tunjang muda tersebut. Bentuk pembiakan lain sukar hidup. Pokok manggis akan berbuah 6-12 tahun selepas ditanam dari biji benih. Buah manggis biasanya dimakan segar kerana rasanya yang lazat. Buah manggis segar boleh ditinkan, tetapi rasanya jauh kurang menarik berbanding buah yang segar.
Taburan
Manggis ditanam di semenanjung Malaysia dan kawasan sekitar ASEAN. Ia ditanam secara perdagangan di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina. Kini ia juga ditanam di Hawaii dan Amerika Syarikat. Manggis (Garcinia mangostana) juga pernah ditanam di taman Duke Northumberland pada 1855, dan telah berbunga dan berbuah (lihat lakaran dalam Bot. Mag. t., 1847).


