07-22-2012, 11:46 PM
Kalau sebut sahaja nama David Teo aku rasa korang semua kenal. Dia dilihat sebagai seorang penerbit filem yang sangat berjaya masa kini. Namun kejayaan beliau bukanlah serta merta dan mudah seperti yang dijangka. Beliau melalui liku-liku hidup sebagai seorang yang gagal sebelum menempa kejayaan. Ikuti kisah David teo dan temu bual dengannya:
Quote:DARI seorang ejen jualan langsung menjual barangan dapur, Mejar (K) David Teo yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG) kini menjadi antara pengarah dan penerbit berjaya di Malaysia.
Susur galur pembabitannya dalam dunia seni bermula apabila dia menerbitkan filem Syukur 21 pada tahun 2000. Biarpun mengalami kerugian mencecah jutaan ringgit, namun semangat juang yang ada dalam diri anak kelahiran Johor ini cukup tinggi.
Kegagalan demi kegagalan ditempuhi sehinggakan satu ketika rakan kongsi bertindak mahu keluar dari syarikat kerana tidak mahu menanggung kerugian. Namun, David Teo atau nama sebenarnya David Teo Chew Huat tetap optimis.
Lima tahun berada di bawah kegelapan sehinggalah filem Rempit dan Jangan Pandang Belakang mengubah segalanya. Kini, David berdiri gah sebagai seorang penerbit dan pengarah yang berjaya.
***********************************MW: Boleh David ceritakan mengenai perkembangan terbaru dan apakah filem yang sedang dijalankan kini?
David: Sejak menubuhkan syarikat pada 2000 sehingga sekarang, saya sudah berjaya menerbitkan hampir 80 buah filem dan edaran sudah hampir 35 buah filem. Ini bertepatan dengan perancangan saya untuk menyiapkan 100 buah filem sehingga penghujung 2012.
Kini, saya sedang menyiapkan filem ke 80 berjudul 2 Kalimah yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.
Filem ini membariskan buat pertama kalinya gandingan Shaheizy Sam dan Nora Danish. Pengarah untuk filem ini merupakan orang baru yang merupakan salah seorang daripada 12 Pengarah Muda yang saya cuba lahirkan menerusi Skim Pengarah Baru. Beliau adalah, Eyra Rahman yang berpengalaman sebagai pembantu pengarah lebih kurang 10 tahun.
Kini, saya sudah ada dua orang pengarah wanita manakala 10 orang pengarah lelaki di bawah skim tersebut. Skim ini diwujudkan bagi tujuan melahirkan pelapis baru untuk pengarah yang sedia ada.
Keutamaan saya mencari pengarah muda adalah memiliki sikap yang baik dan belajar dengan cepat. Selain itu kena ada minat dan kemudian barulah saya melihat kepada pengalaman kerana jika tiada pengalaman mereka boleh belajar. Tetapi jika tiada minat dan sikap yang baik maka tidak dapat menjadi pengarah yang baik.
MW: David dilabelkan sebagai majikan yang baik kerana sering berkongsi rezeki dengan staf. Bagaimana mendapat idea tersebut, adakah sekadar mahukan nama atau kerana tanggungjawab sebagai majikan.
David: Di dalam syarikat MIG, kami bergerak dalam satu kumpulan dan bukan individu. Kerana itu saya anggap setiap produk yang berjaya adalah hasil dari pasukan yang baik dan juga kerana sehati sejiwa.
Kalau diikutkan, saya dahulu seorang yang tamak dan selalu mengambil kesempatan. Malah, bos saya dahulu selalu mengajar bagaimana ‘mengayat’ untuk yakinkan orang untuk membeli produk.
Namun, selepas 20 tahun, saya sedar tamak dan mementingkan diri tidak boleh membawa saya pergi lebih jauh. Malah, saya sentiasa berada dalam ketakutan kerana takut orang tipu, tidak jujur atau makan duit. Perasaan pun tidak gembira dan berada dalam keadaan tertekan.
Sehinggalah, suatu hari saya bertemu seorang ustaz dan dia memberi pandangan menerusi agama Islam. Dari situ saya gunakan untuk panduan hidup saya. Walaupun berbeza agama, namun saya anggap semua ajaran adalah benar dan bagus kerana saya sendiri aplikasikan cara tersebut.
Tetapi saya tidak berubah sekali gus sebaliknya saya guna pendekatan sedikit demi sedikit kerana bukan mudah untuk menukar sikap tamak dalam diri. Ternyata, memberi dan berkongsi rezeki memang banyak perubahan. Staf pun lebih ikhlas dan persekitaran lebih gembira dan perjuangan kami juga boleh dikatakan sehati sejiwa.
Memang nampak cara ini berkesan dan walaupun ada individu menganggap cara saya ini merosakkan trend penerbit kerana orang lain tidak beri tetapi saya beri. Tetapi saya anggap masing-masing punya rezeki dan kesedaran. Biarlah apa orang nak cakap janji saya berubah.
MW: Bagaimana David menghasilkan sesebuah idea. Melalui pemerhatian, pengalaman, pembacaan atau perbincangan?
David: Saya selalu amalkan pentadbiran yang telus dan tidak ada protokol serta membezakan pangkat atau jawatan. Setiap pegawai baru boleh bertemu dan menyampaikan pandangan mereka kerana saya menggunakan pendekatan berfikiran terbuka dan menerima idea sama ada secara ‘face to face’ atau melalui laman sesawang seperti Twiter, Facebook dan sebagainya.
Idea selalunya saya peroleh secara spontan. Sebagai contoh, dalam filem Jangan Pandang Belakang, ia lahir ketika saya bersama Piere Andre. Dalam perjalanan dengannya tiba-tiba dia cakap nampak hantu. Terus saya dapat idea untuk terbitkan filem hantu dan minta dia taip skrip dan gabungkan pengalaman yang pernah lalui untuk menghasilkan satu cerita. Tidak sangka filem tersebut ‘box office’ sehingga melebihi RM7 juta.
Sudah sebati dengan orang Melayu
MW: David lebih suka menerbitkan cerita untuk drama dan filem Melayu, kenapa?
David: Sejak awal lagi, jiwa saya sudah sebati dengan orang Melayu memandangkan ayah saya dahulu tukang rumah orang kampung selain membaiki longkang dan sebagainya. Memang saya sudah biasa dengan orang Melayu, begitu juga dengan kaum lain seperti India dan Cina. Mungkin ‘jodoh’ kuat dengan orang Melayu dan kerana itu saya menceburi bidang penerbitan Melayu. Kebetulan saya sudah biasa dengan agama dan budaya masyarakat ini jadi mudahlah untuk saya terbabit dalam bidang ini.
Filem pertama saya adalah Syukur 21 dan saya hampir muflis disebabkan terpaksa menanggung kerugian hampir RM3.7 juta. Waktu itu, tiada produksi yang berani buat filem begini dan namun saya tetap ingin mencuba. Mungkin belum rezeki, saya asyik rugi sehinggalah ada yang cakap saya tidak sesuai dalam bidang ini.
Bahkan, rakan kongsi juga mengambil keputusan untuk menarik diri. Tetapi saya anggap kegagalan itu banyak mengajar saya untuk menambah pengalaman. Kerana itu saya sanggup berhabisan semata-mata untuk terus berada dalam bidang ini.
Hanya, lima tahun pertama hidup saya dirundung kegagalan dan saya anggap pengalaman tersebut cukup mahal. Segalanya mula berbuah selepas filem Rempit pada tahun 2006 yang menjadi ‘box office’.
Kemudian saya terbitkan pula filem Jangan Pandang Belakang dan turut mendapat untung jutaan ringgit sehingga tercatat dalam Malaysia Book Of Records.
MW: Kualiti atau kuantiti yang dicari oleh David. Boleh komen tentang isu ini?
David: Pada saya, ia satu pandangan subjektif oleh seseorang individu. Kalau ditanya pada saya tentang kualiti, ia tercapai apabila sesebuah filem box office. Tetapi jika diukur melalui seni, memang saya tidak layak kerana saya bukan pakar dalam bidang tersebut.
Lagipun, saya menghasilkan filem bukan untuk juri tetapi untuk masyarakat. Jadi matlamat tidak sama kerana saya mahu masyarakat menilai sendiri dengan membayar RM10 untuk menonton filem saya.
Pada saya, cara sebegini lebih selamat. Dalam perjuangan penerbitan filem sebenarnya mengambil masa yang panjang dan bukan sekadar ‘touch n go’. Jangan hanya baru buat satu filem dengan menggunakan pinjaman bank, kemudian sudah mahu untung.
Kalau berhasil dan menang maka untung tetapi bagaimana jika kalah dan diisytiharkan muflis. Banyak penerbit baru tidak faham dan mereka tidak tahu MIG sendiri melalui pelbagai liku sebelum sampai ke tahap sekarang. Namun, kami tidak menggunakan sebarang pinjaman bank kerana itu akan menambahkan masalah yang sedia ada.
Jika tiada duit jangan buat filem dan satu lagi untuk berjaya seseorang itu perlu berani terima kegagalan dan jangan mengharapkan filem box office kerana itu satu harapan tetapi tiada satu ketetapan. Paling penting, kena ikhlas dan jangan sekadar syok sendiri tanpa menghormati kehendak dan pandangan penonton. Akhirnya penonton akan tinggalkan kita, yang ruginya kita sendiri apabila filem tidak laku.
MW: Apa pandangan David terhadap pelakon baru sekarang? Adakah mereka benar-benar berbakat atau bersandarkan pada rupa dan glamor?
David: Artis baru sekarang terlalu bernasib baik kerana tidak perlu bersusah payah seperti artis dahulu. Cuma, yang saya kesalkan ada yang boleh diibaratkan seperti kacang lupakan kulit, tidak pernah bersyukur dan seolah-olah terkena kejutan budaya selain tidak berpijak di bumi nyata sehingga lupa asal usul.
Di syarikat MIG, saya turut menerapkan motivasi serta mengenakan larangan tertentu bagi memastikan artis di bawah naungan MIG tidak terbabit dalam kegiatan yang tidak bermoral. Ibarat seorang ayah yang mengenakan larangan tertentu pada anak-anak begitu juga di MIG malah, kami lebih tegas lagi.
Ini kerana, saya mahu menjaga maruah keluarga dan nama syarikat. Memang ada yang tidak selesa dan anggap itu ‘personal life’ tetapi mereka harus mengikut larangan kerana sekali tersilap langkah maka nama akan busuk.
Kerana itu, saya menyediakan pegawai yang memantau artis setiap masa. Dengan mengamalkan pentadbiran yang betul, maka tidak mustahil, mereka boleh kekal lama dan berjaya serta menjadi ikon kepada masyarakat. Paling penting mereka menjadi kaya dan tidak perlu minta sedekah atau simpati pada mana-mana persatuan apabila tua kelak.
Sinar Harian

