NAK IKLANKAN SESUATU atau LAPOR masalah forum? Emailkan di komunitigempakzhq@gmail.com

ATTENTION: "NEW POST REPLY" display "Error". >KLIK<<

+++ Do LIKE @ SHARE ARTICLE +++

Thread Rating:
  • 0 Vote(s) - 0 Average
  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • 5
Perlukah Isytihar Darurat kerana Covid 19?
#1

Tulisan Dr Muhammad Fathi Yusof, Felo Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tentang wabak Covid-19 dan Darurat, ringkasnya usah panik, bersama kita faham dan atasinya.

COVID-19: PERLUKAH ISYTIHAR DARURAT?

Banyak negara di dunia telah mengisytiharkan darurat bagi menghadapi wabak Covid-19. Satu badan antarabangsa iaitu The Centre for Civil and Political Right (CCPR-Centre) telah merekodkan bahawa terdapat 79 negara telah mengisytiharkan darurat sebagai tindakbalas menangani pandemik Covid-19. Negara-negara berkenaan termasuklah Australia, Indonesia, Finland, Brazil, Itali, Sepanyol, Afrika Selatan, Libya, Filipina, Thailand, Argentina dan Jordan.. Malaysia adalah antara sebahagian negara yang belum mengisytiharkan darurat bagi menangani Covid-19.

Buat masa ini langkah menangani Covid-19 dilaksanakan melalui undang-undang biasa terutamanya Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) misalnya dilaksanakan di bawah kuasa Menteri Kesihatan yang diperuntukkan dalam akta berkenaan. Seksyen 11(1) misalnya, memberikan kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk mengisytiharkan melalui Warta Kerajaan bahawa sesuatu kawasan itu sebagai kawasan jangkitan. Manakala, seksyen 11(2) memberi kuasa kepada Menteri untuk membuat peraturan bagi mengawal atau mencegah merebaknya apa-apa penyakit berjangkit.

Melalui akta ini juga jentera kerajaan termasuklah Majlis Keselamatan Negara (MKN), pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberikan peranan untuk menguatkuasakan PKP. Seksyen 3(1) membolehkan Menteri Kesihatan melantik sesiapa sahaja yang sesuai untuk menjadi ‘pegawai diberi kuasa’ untuk menguatkuasa peraturan yang telah dibuat. Dalam konteks ini, kesemua anggota agensi-agensi yang dinyatakan di atas termasuk dalam definisi ‘pegawai diberi kuasa’.

Seksyen 11(3) (b) pula menyebut skop kuasa yang luas kepada ‘pegawai diberi kuasa’untuk melakukan ‘apa-apa langkah sebagaimana yang difikirkan perlu’ untuk mengawal penyakit itu. Manakala seksyen 11(4) pula menyebut bahawa ‘adalah sah bagi seseorang pegawai diberi kuasa menggunakan kekerasan, dengan bantuan atau tanpa bantuan, yang perlu dan menggunakan apa-apa cara yang mencukupi untuk memastikan bahawa apa-apa arahan yang dikeluarkan di bawah subseksyen (3) dipatuhi’.

Kerajaan telah menggunakan seluruh ruang yang ada dalam akta berkenaan untuk melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan termasuklah beberapa siri dan kategori PKP. Kaedah ini digunakan sejak dari PKP pertama yang bermula pada 18 Mac 2020 lalu. Kaedah ini mudah, cepat dan kurang konroversi berbanding pengisytiharan darurat. Namun begitu, setelah tujuh bulan berlalu, adalah wajar untuk kita menilai kembali samada kita boleh terus bertahan dengan kaedah ini atau perlu wujud satu langkah yang lebih konkrit dan berstruktur.

Dari sudut sumber kuasa, kaedah menangani Covid-19 berteraskan Akta 342 semata-mata kelihatan agak janggal. Di atas kertas, Menteri Kesihatan memberikan kuasa kepada MKN, PDRM dan ATM untuk menguatkuasakan PKP. Perlu diingat MKN turut dianggotai oleh Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kanan. Adalah ganjil bila seorang menteri ‘menurunkan’ kuasanya kepada pemegang kuasa yang lebih tinggi. Kaedah ini mungkin diizinkan sebagai mekanisme segera dan sementara, tetapi ia tidak sesuai untuk terus dikekalkan begitu.

Sebagai alternatif, MKN serta seluruh agensi-agensi penguatkuasa boleh diberikan kuasa melalui satu ordinan darurat khusus untuk Covid-19, dan kuasa-kuasanya diberikan melalui Proklamasi Darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Kaedah ini lebih kukuh dan selari dengan kaedah tadbir urus yang berkesan.

Selain itu, mekanisme yang ada di bawah Akta 342 sekarang tertakluk kepada ruang lingkup merawat, mengasingkan dan membuat tindakan yang sesuai untuk ‘untuk mengawal penyakit’. Aspek kesejahteraan rakyat dari aspek lain seperti kelancaran pergerakan, kebajikan, agihan ekonomi, kebersihan umum, dan seumpamanya di luar dari skop akta berkenaan, sedangkan ia amat berkaitan dengan kesan wabak Covid-19. Jika darurat diisytiharkan institusi yang menguruskan krisis Covid-19 akan dapat meluaskan skop peranan bukan sahaja kepada aspek kawalan penyakit, bahkan juga kepada seluruh perkara yang memberi kesan kepada rakyat dalam menghadapi wabak ini.

Cabaran yang dihadapi oleh negara dan dunia kini adalah satu cabaran yang luar biasa atau ‘unprecedented’, maka adalah wajar ia ditangani berasaskan satu langkah perundangan yang kukuh. Pergantungan kepada satu akta dalam menghadapi gelombang Covid-19 ini tentunya tidak memadai. Fungsi Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen undang-undang induk yang melindungi rakyat melalui kerangka perundangan perlu dimanfaatkan. Prokalamasi Darurat memang tersedia dalam perlembagaan. Saat beginilah ia perlu digunakan. Perjuangan menghadapi Covid-19 belum berakhir, bahkan semakin sengit. Untuk menang kita perlukan senjata perundangan terbaik, dan kita sememangnya memiliki senjata berkenaan iaitu Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini bertepatan dengan gesaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam resolusi Perhimpunan Agung PBB 11 September 2020 lalu yang menegaskan antara lain:

“The UN calls upon Member States to put in place a whole-of-government and whole-of-society response, outlining both immediate and long-term actions, with a view to sustainably strengthening their health system and social care and support systems, and preparedness and response capacities, engaging with communities and collaborating with relevant stakeholders...”

Apabila berlaku kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi ramai yang memberikan cadangan agar Pilihan Raya Kecil ditangguhkan atau dibatalkan. Dari sudut perlembagaan, proses demokrasi biasa tidak boleh tertangguh. Bila berlaku kekosongan kerusi Perlimen, ia perlu diisi melalui PRK dalam tempoh 60 hari. Satu-satunya cara untuk membatalkan PRK ialah melalui Proklamasi Darurat di bawah Perkara 150. Oleh yang demikian, jika Proklamasi Darurat Covid-19 diisytiharkan, kerajaan dapat menggantungkan keseluruhan proses pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Umum jika berlaku sesuatu yang luar jangkaan.

Dalam konteks kedudukan politik yang tidak menentu dengan jumlah sokongan majoriti tipis yang dimiliki oleh kerajaan hari ini, rakyat sentiasa terdedah dengan risiko Pilihan Raya Umum ke 15 dalam tempoh wabak Covid-19 yang belum berakhir. Peningkatan mendadak kes Covid-19 selepas Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini cukup menjadi pengajaran. Proses demokrasi itu penting, tetapi ia perlu terlaksana tanpa mengorbankan sesuatu yang lebih penting termasuklah nyawa dan ekonomi negara. Dalam hal ini jalan keluar terbaik ialah dengan mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Undang-undang dan perlembagaan berperanan untuk menyelesaikan masalah negara dan rakyat. Elemen yang sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan kini mampu dimanfaatkan untuk menjadi asas perundangan dalam mengambil langkah terbaik bagi memenangi peperangan dengan wabak Covid-19. Proklamasi Darurat bukan bermaksud perang atau kekacauan, tetapi adalah satu jalan keluar bagi mengatasi halangan pentadbiran dalam menangani sesuatu situasi dan ancaman yang mendesak. Ia bukan sahaja untuk mendepani isu keselamatan, bahkan ia boleh digunakan bagi menghadapi situasi ancaman ekonomi, wabak penyakit, bencana dan lain-lain.

Sama-sama kita doakan agar rakyat dan kerajaan diberikan keteguhan dan kekuatan untuk mengatasi wabak Covid-19. Semoga rahmat dan keberkatan sentiasa mengirisi usaha murni seluruh rakyat untuk memenangi perang ini. InsyaAllah, dengan rahmat Allah, serta dengan kesetiaan rakyat dan kebijaksanaan pemimpin kita dapat kembali semula seperti keadaan yang normal seperti sebelum ini.

Dr Muhammad Fathi Yusof
Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan)
Pusat Polisi Perdana
Fakulti Teknologi Dan Informatik Razak
Universiti Teknologi Malaysia
12 Oktober 2020

*******

Lanjutannya:

DARURAT UNTUK COVID-19 TIDAK MEMBAWA PEMERINTAHAN DIKTATOR

Tulisan ini adalah lanjutan tulisan awal saya bertajuk “Proklamasi Darurat Jalan Keluar Tangani Covid-19” (Berita Harian, 14 Oktober 2020). Ketika saya mengemukakan cadangan Proklamasi Darurat Covid-19 dibawah Perkara 150 bagi menghadapi wabak tersebut, ramai yang khuatir kalau-kalau ia membawa kepada pentadbiran diktator. Kerisauan ini berlaku kerana darurat seringkali dikaitkan dengan kekacauan yang memerlukan pemerintahan yang sangat tegas dan keras.

Bahkan ada yang menimbulkan kerisauan akan berlakunya berlakunya rusuhan seperti zaman darurat peristiwa 13 Mei 1969 jika Darurat Covid-19 dikuatkuasakan. Hakikatnya, rusuhan kaum 13 Mei bukannya berlaku kerana pengisytiharan darurat, sebaliknya darurat diisytiharkan bagi menamatkan rusuhan. Sejarah membuktikan bahawa proklamasi darurat berjaya memainkan peranan sebagai jalan keluar kepada masalah sedemikian.

Dari sudut yang lain pula, darurat bukan sahaja dibenarkan bagi menangani masalah keselamatan dan ketenteraman awam. Perkara 150 secara jelas menyebut bahawa “jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.” Soal ekonomi disebut secara jelas sebagai salah satu sebab yang membolehkan darurat diisytiharkan.

Dalam satu kes mahkamah (kes Stephen Kaling Ningkan lwn Kerajaan Malaysia [1968]), Majlis Privi telah menyebut antara lain bahawa Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan membolehkan darurat diisytiharkan dalam skop situasi yang luas iaitu termasuklah perkara-perkara seperti peperangan, kebuluran, gempa bumi, banjir, jangkitan penyakit, dan keruntuhan kerajaan sivil. Melihat kepada hakikat ini, pengisytaharan darurat bagi mengatasi wabak Covid-19 bukan satu masalah dari sudut Perlembagaan.

Ada juga yang membayangkan bahawa proklamasi darurat akan menyebabkan negara diperintah oleh pihak tentera dan seluruh negara tertakluk kepada perintah berkurung. Tanggapan ini jauh dari hakikat sebenar. Dari sudut pemerintahan, Proklamasi Darurat Covid-19 tidak akan mengubah bentuk pemerintahan sedia ada. Kerajaan tetap boleh berfungsi seperti biasa kerana perubahan fungsi kerajaan di peringkat kementarian dan negeri-negeri tidak diperlukan bagi menangani Covid-19.

Apa yang berlaku ialah pemberian kuasa secara jelas dan teratur kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menangani Covid-19. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan diisytiharkan, peranan aktif MKN telah digerakkan untuk menangani wabak ini. Tetapi dari sudut kuasanya agak kurang jelas dan janggal. Masalah ini dapat diatasi dengan proklamasi darurat. Hal ini telah saya perincikan dalam tulisan yang lepas.

Selain itu, ada juga yang menganggap bahawa Proklamasi Darurat Covid-19 akan menyebabkan negara berada di bawah pemerintahan MAGERAN atau Majlis Gerakan Negara seperti yang berlaku selepas peristiwa 13 Mei 1969. Persepsi ini juga menambahkan ketakutan kepada Proklamasi Darurat Covid-19. Istilah MAGERAN atau seumpamanya tidak wujud dalam Perkara 150. Ia ditubuhkan bagi membantu Pengarah Gerakan Negara yang diberi kuasa oleh Yang Di-Pertuan Agong untuk melaksanakan kuasa-kuasa perlu dalam tempoh darurat.

Soalnya apa perlunya MAGERAN pada hari ini, sedangkan kita sudah ada MKN? MKN ditubuhkan pada bulan Julai 1971 setelah MAGERAN dibubarkan pada tahun yang sama. MKN diberi peranan untuk menjalankan kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah ordinan-ordinan Darurat dan perintah-perintah di bawahnya. Pada tahun 1979, fungsi dan punca kuasa MKN kemudiannya dikemaskini melalui Arahan MKN No. 1 yang bersandarkan kepada Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1979. Kedudukan ini berkekalan sehingga darurat ditamatkan secara rasmi dan akta ini dimansuhkan pada 21 Jun 2012. Pada hari ini MKN melaksanakan kuasanya secara lebih jelas dan tersusun melalui akta khusus iaitu Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta 776).

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa darurat yang diisytiharkan pada tahun 1969 berkuatkuasa secara rasmi dalam tempoh 43 tahun sehingga ia ditamatkan secara rasmi pada tahun 2012. Dalam tempoh berkenaan beberapa ordinan darurat dikekalkan dan digunakan oleh kerajaan dalam pendakwaan dan pentadbiran. Hakikat ini membuktikan bahawa kedudukan negara dalam keadaan darurat bukanlah satu masalah sehingga boleh menghakis amalan demokrasi dan perlindungan hak asasi rakyat. Oleh yang demikian, Proklamasi Darurat Covid-19 tidak perlu menjadi satu polemik atau ketakutan kepada rakyat Malaysia.

Kita mengharapkan dengan diisytiharkan Darurat Covid-19, penguatkuasaan peraturan dan arahan berkaitan usaha menangani wabak Covid-19 termasuklah melalui Perintah Kawalan Pergerakan dan langkah-langkah lain dapat dilaksanakan dengan lebih lancar. Selain itu, ia juga mampu menyediakan mekanisme yang dapat mengelakkan rakyak terjebak dalam pilihan raya umum dalam tempoh wabak ini. Mudah-mudahan negara kita dan dunia segera dikeluarkan dari dugaan dan cabaran wabak yang luar biasa ini.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
FELO PENYELIDIK (UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBANGAAN)
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
17 OKTOBER 2020
Mari mendaftar ahli di Komuniti gempakZ~   Shy

** PENGUMUMAN PENTING: "NEW POST REPLY" BERMASALAH >>KLIK<<
** SUBSCRIBE Youtube Komuniti gempakZ >>KLIK<<
Reply


Possibly Related Threads...
Thread Author Replies Views Last Post
  Perlukah Masyarakat Bergaduh disebabkan hal Politik? Mr.Pingu 0 2,177 02-19-2013, 06:52 AM
Last Post: Mr.Pingu

KoMuNiTi gempakZ on Facebook

Website Hit Counter

Forum Jump:


Users browsing this thread: 1 Guest(s)