11-02-2010, 03:19 PM

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@bharian.com.my
2010/11/02
SABDA Rasulullah SWT, jika seorang anak sudah mengetahui (membezakan) tangan kanannya dari tangan kirinya, maka latihlah dia menunaikan solat. Sungguhpun begitu, seorang ibu perlu memahami bahawa penentuan had usia mula bersolat menurut hadis itu jika diteliti secara mendalam sebenarnya turut merangkumi beberapa aspek wajib lain seperti mana patut dilaksanakan anak yang mumayyiz. Antaranya adalah mendidik mereka terhadap keperluan menutup aurat di hadapan bukan mahram, bermula di usia muda.
Bagi pemilik Hannaz Enterprise, Nurul Fadzilawati Zainuddin, 32, yang menjalankan perniagaan pakaian muslimah kanak-kanak dalam talian secara sambilan, dia percaya kepada pepatah berbunyi melentur buluh biar dari rebungnya.
“Sebagai seorang muslim, setiap anak yang mulai memasuki usia baligh perlu diterapkan nilai sebagai seorang Islam terutama membabitkan adab dalam berpakaian.
“Saya juga yakin, kehidupan moden tidak seharusnya dijadikan batasan bagi kita sendiri mengamalkan ajaran suruhan-Nya kerana Islam itu tidak pernah menyusahkan malah boleh diikuti sepanjang zaman,” katanya.
Apabila merujuk kepada fesyen, Nurul Fadzilawati tidak menolak pasaran fesyen sememangnya terlalu luas namun penerimaan masyarakat terhadap gaya sopan menuntut aurat mula diterima ketika ini.
Justeru, inginkan kelainan berbanding usahawan sekarang yang selesa mengetengahkan busana muslim untuk wanita menyebabkan Nurul Fadzilawati beralih kepada kumpulan lebih kecil iaitu kanak-kanak perempuan dan lelaki.
Kata pensyarah kejuruteraan elektrik di sebuah kolej swasta itu, Hannaz Enterprise pada asalnya dimulakan bagi memenuhi kegilaan terhadap rekaan pakaian muslimah untuk kanak-kanak yang pelbagai.
“Ia berlaku secara kebetulan pada 2009, sekadar untuk suka-suka apabila sering melancong ke luar negara bersama keluarga. Apabila pergi ke tempat orang, menjadi kemestian bagi saya melihat barangan untuk anak-anak dan tahun lalu, ketika ke Surabaya, saya tertarik melihat rekaan pakaian Muslimah untuk kanak-kanak.
“Melihatkan sambutan awal, saya berasakan pasaran untuk pakaian sebegini ada, cuma mungkin ada sedikit masalah dari segi harga yang dikatakan sedikit tinggi,” katanya.
Namun , Nurul Fadzilawati memberitahu pasaran pakaian Muslimah di Indonesia memang rancak malah pilihan corak, material serta rekaan juga pelbagai.
“Bagi memastikan pelanggan mendapat pilihan pakaian yang terbaik, saya akan pastikan setiap helaian berkualiti tinggi sepadan harga dibayar,” katanya.
Di laman web Hannaz Enterprise, pelanggan boleh memilih koleksi pakaian Muslimah diperbuat daripada kapas dalam sembilan rekaan berbeza pada harga RM60 bagi kanak-kanak berusia lima tahun hingga enam tahun, RM50 (3-4 tahun) dan RM45 (0-2 tahun).
“Untungnya, setiap pek didatangkan dalam set lengkap bersama kain atau seluar, baju serta tudung. Kerana itu saya katakan belian anda memang berbaloi dengan harga.
“Malah, pilihan warna dan corak juga ceria sesuai cita rasa kanak-kanak seperti merah jambu, biru, hijau, hitam putih dan banyak lagi. Menariknya lagi, setiap rekaan akan bertukar setiap enam bulan,” katanya.
INFO: Panduan mendidik anak perempuan menjaga penampilan
# Imej muslimah bukan sekadar menutup aurat tapi anak-anak juga perlu dididik berpakaian kemas, bersih dan sesuai dengan keadaan.
# Didik anak menyuai padan baju dan menggosok baju, termasuk baju tidur supaya amalan ini dapat diteruskan apabila meningkat dewasa.
# Tetapkan etika berpakaian untuk anak, walaupun anak berusia tujuh tahun ke bawah tidak diwajibkan memakai tudung. Namun begitu, anak yang berusia 9 tahun (usia baligh bagi anak perempuan) dimestikan memakai tudung apabila keluar rumah.
# Seluar dan skirt mestilah labuh dan mencecah buku lali.
# Buat spa di rumah untuk anak menggunakan bahan dari dapur sendiri kerana aktiviti sebegini mampu mengeratkan kasih sayang ibu dan anak.
INFO: Hannaz Enterprise
Laman web: http://www.hannazenterprise.blogspot.com
E-mel: hannazenterprise@yahoo.com.

